Saturday, 29 July 2017
KRK SCHOOL TRIP TO KLCC N UIAM
BISMILLAH..
SECEBIS MEMORI
Pada hari Rabu, 5 JULAI 2017 yang lalu, satu lawatan yang disertai oleh murid-murid dari Kelas 3 Rancangan Khas dan 2 Rancangan Khas telah diadakan. Seramai 40 orang murid dan 4 orang guru pengiring telah menyertai rombongan ini .Dua destinasi yang menjadi tumpuan ialah Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) dan Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC) yang kedua-duanya merupakan institusi bertaraf antarabangsa.
Rombongan bertolak pada pukul 7.30 pagi dan tiba di UIAM pada pukul 9.30 pagi. Di sana, rombongan telah diberi taklimat tentang kursus-kursus yang ditawarkan di UIAM. Murid-murid juga diberi motivasi dan pengetahuan asas untuk memilih kursus yang sesuai dengan minat mereka dan pasaran kerja. Di UIAM juga, rombongan dibawa meneroka Perpustakaan UIAM yang memuatkan pelbagai khazanah ilmu dalam pelbagai bidang. Murid-murid juga didedahkan dengan kaedah pencarian maklumat terkini dan cara peminjaman dan pemulangan buku berkomputer. Maklumat dan pendedahan sedemikian banyak memberkan motivasi dan semangat kepada murid-murid untuk melanjutkan pelajaran di peringkat universiti serta merancang masa depan mereka.
Setelah menikmati kudapan yang disediakan oleh pengurusan UIAM, rombongan bergegas ke KLcC bagi memastikan tiba di KLCC sebelum pukul 1:00 tengahari kerana tiket yang ditempah ke Skybridge ialah pada pukul 1:00 tengahari. Malangnya rombongan tiba agak lewat, iaitu pada pukul 1:30 tengahari disebabkan kesesakan lalu lintas dan masa yang diambil oleh pemandu untuk mengisi petrol. Di KLCC, peserta rombongan dibahagikan kepada dua kumpulan bagi memastikan keadaan terkawal. Murid-murid begitu teruja menaiki lif yang laju, iaitu 8 meter sesaat, seterusnya berpeluang berada di atas Skybridge di tingkat 41 menara KLCC yang menghubungkan dua menara KLCC. Rombongan hanya dibenarkan berada 10 minit di atas Skybridge. Seterusnya, rombongan menaiki lif menuju ke tingkat 86 menara KLCC, iaitu menara tinjau. Di sana, murid-murid berpeluang meninjau dan memerhatikan bandar raya Kuala Lumpur dan kawasan berhampiran dengan menggunakan teropong berkuasa tinggi yang tidak ada di tempat lain. Murid-murid juga berpeluang bergambar dengan replika Menara KLCC berlatarbelakangkan bandar raya yang nun sayup di bawah mereka.
Selepas itu, rombongan turun ke tingkat 83 menara KLCC. Di sana, murid-murid didedahkan dengan maklumat berkaitan bangunan-bangunan tertinggi di dunia yang mana menara KLCC masih merupakan Menara Berkembar Tertinggi di dunia pada masa ini. Ahli rombongan juga berpeluang untuk bergambar dan membeli cenderamata bertemakan KLCC, namun harga barangan yang mahal menyebabkan tidak ramai yang membelinya.
Destinasi kedua di KLCC ialah AQUARIA, iaitu akuarium bertaraf dunia yang memuatkan berbagai-bagai spesis ikan air tawar dan air masin. Murid-murid begitu teruja melihat ikan-ikan bersaiz besar dan hidupan dasar laut yang lain. Di sinilah mereka mendapat maklumat bahawa ikan piranha tidak makan orang, cuma ikan ini tertarik kepada bahan-bahan yang berdarah.
Usai melawat AQUARIA, murid-murid dibenarkan berjalan-jalan dan membeli-belah di kawasan Suria KLCC. Selepas lebih kurang satu jam di sana, rombongan mengakhiri lawatan. Tepat jam 6:30 petang, rombongan bertolak pulang, meredah kesesakan lalu lintas bandar metropolitan Kuala Lumpur. Semoga murid-murid dapat mengambil iktibar dengan kehidupan warga kota Kuala Lumpur yang terpaksa berdepan dengan ujian fizikal dan psikologi demi mencari sesuap nasi.
Rombongan berhenti solat dan makan malam sebentar di Jejantas Sungai Buloh, dan tiba di sekolah pada pukul 9:50 malam. Diharap, lawatan ini dapat memberi semangat kepada murid-murid untuk lebih gigih mencari ilmu dan menggapai impian kerana sesungguhnya kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.
GAMBAR-GAMBAR SEPANJANG PROGRAM
PERPUSTAKAAN UIAM
TINGKAT 41, KLCC. DENGAN KETINGGIAN 170M DARI PARAS BUMI
TINGKAT 86 KLCC. (KLCC OBSERVATION DECK). DENGAN KETINGGIAN 360M DARI PARAS BUMI
MENGABADIKAN KENANGAN DI PUNCAK TERTINGGI KLCC
Subscribe to:
Posts (Atom)






































































































































































































































